Monday, September 10, 2012

Pemergian yang tak dilupa

28 July 2012

Tersentak. Jantung tiba - tiba berdegup kuat dua kali.. Istighfar, selawat, dua kalimah syahadah, tawakal - semuanya dibaca dan perjalanan pulang ke kampung masih diteruskan.

Sampai di rumah, saya lihat abah duduk teman mak di dapur. Lepas salam abah dan cium mak, saya bersila di depan abah. Berceloteh tentang itu dan ini. Tentang saya, tentang rakan serumah, tentang abang - abang dan kakak. Beginilah kami anak beranak; saya bercerita, abah mendengar & gelak, mak pula sesekali mencelah. Itu dah cukup memuaskan hati saya. Itulah aktiviti saya setiap hujung minggu. Merahsiakan kepulangan dari teman-teman rapat semata-mata demi masa untuk mak abah.

Dua hari cuti hujung minggu itu digunakan sebaik-baiknya menjaga abah, mengurut abah. Abah tak mahu mak urut kalau saya ada di rumah. "Tangan adik lebih terasa.." katanya. Malamnya pula tidur di kaki abah sambil tangan masih mengurut2 sampai tertidur.

30 July 2012

Abang no1 telefon. Ayahlong meninggal katanya.. Atas arahan atuk, kami tak boleh beritahu mak. Khuatir mak sedih. Saya buntu. Kerja di pejabat saya dibiar bertaburan. Memandang laptop dengan pandangan kosong. Dan menangis. Sebab tak dapat buat apa - apa. Ini keluarga sebelah Johor, saya pula di Kedah. Selepas bertenang, saya ambil keputusan untuk pulang ke Johor sorang-sorang pada weekend nanti.

31 July 2012

Mak telefon mintak balik rumah lepas kerja bawak abah pergi berubat. Tapi malam tu abah tak dapat pergi. Penat katanya. Jadi mak pergi dengan jiran dan saya pula jaga abah di rumah. Pujuk abah makan, buatkan air untuk abah. Waktu itu juga, saya beritahu abah, "Hari tu adik ada mimpi abah. Abah kuruss je & nampak sangat hepi. Its mean, we still have hope, abah!" Dengan senyum lebarrr... Tapi Abah senyap..

2 August 2012

Panggilan telefon mak saya biarkan tak berjawab sebab sedang mengaji. Ketika mahu mendirikan solat zohor, mak panggil lagi. Saya jawab, mak minta saya balik. Abah demam panas. Selesai solat, saya turun ke workstation, minta izin supervisor, delegate kerja kepada colleague dan terus pergi. Sampai di rumah, saya pegang abah. Sangat panas. Tiga tahun sakit, ini kali pertama abah diserang demam. Menggigil - gigil badannya. Mak kata, abah tak mahu badannya dilap air untuk kurangkan suhu demam. Lepas dipujuk saya, abah mahu. Lega.. Sambil lap, sambil urut. Ketika mengurut di kiri bahu, abah angkat tangannya mencari tangan saya. Saya sambut tangan itu, lama berpegangan dan saya dapat rasakan betapa kasihnya abah. Pada waktu yang sama, saya terfikirkan sesuatu, namun saya tepis cepat-cepat.

Menjelang petang abah meracau. Mungkin sebab badan kembali panas. Abah asik bertanya tentang abang yang masih tak balik-balik dari beli jus favoritenya - pink guava. Abah tak pernah begitu. Tak pernah menggesa anak-anak untuk turutkan kemahuannya. Lepas abah minum jus tu, abah senyap & tidur. Secara duduk..

Saya? Tak pernah tinggal abah.. Masih mengurut belakang badannya..

Malamnya pula, badan abah kebah sikit. Sementara, abang & kakak ke Sik mencari ubat kampung. Mak pula tidur sebab terlalu letih. Kurang makan, kurang tidur.. Tinggal saya dan abah.. Mengurut lagi. Bila penat, saya baring di kaki abah. Waktu itu, abah bersuara, "Adik ambil ayat yang abah nak bagi adik ni. Tulis cepat." Lama kami berpandangan... Saya terfikirkan sesuatu, namun ditepis cepat-cepat.

Bismillahi Shafi
Bismillahi Kahfi
Bismillahi Muaffi
Bismillahilladzi La Yadurru Ma'asmihi
Syai'un Filardhi Wala Fissama ewahuwal Sami'un A'lim

3 August 2012

Abah nyatakan hasrat mahu ke hospital selepas Asar. Alhamdulillah, akhirnya..... Lepas berjaga dari siang hingga hampir ke 3 pagi, saya lemah. Persiapkan abah, dan saya masuk tidur di dalam bilik. Sempat berpesan pada abah, "Panggil adik kalau abah nak apa-apa okeyyy". Abah angguk. Dina ada di sisi kanan abah, abang pula letak laptop kerjanya di ruang tamu. Saya puas hati & langsung hanyut dalam lena.

Tengah hari saya terjaga, dengar abang panggil ambulan datang ke rumah. Abah tukar plan untuk ke hospital pada waktu itu. 12.53pm abah masuk ke dalam ambulan ditemani mak. Abang pula menyusur dari belakang dengan kereta sendiri. Saya dan kakak ipar pula kemas rumah dan masak semua bahan untuk berbuka.

Jam 4pm, abang beritahu kakak yang abah dah meninggal. Blur.. Mungkin tersalah dengar. Tapi kakak saya jadi semakin kalut. Dia ke rumah sebelah, lepas tu jiran pula keluar dengan tangisan. Saya terus bersiap bila kakak ajak ke hospital. "Wak senyum ja sebelum masuk dalam ambulan..." Kata jiran rapat kami yang tak dapat terima berita tersebut.

4.30pm kami tiba di hospital. Abang ke kereta mendapatkan isteri dan anaknya. Saya lihat mak terduduk di koridor tepi dengan airmata. Ya Allah, kuatkan hati dan diri ini. Ada insan tersayang yang perlu aku tenangkan selain diriku. Saya bisikkan di telinganya, "Jangan menangis. Kesian abah.. Baca Fatihah kalau rasa sedih".

Sepanjang masa saya duduk dekat dengan abah. Saya lihat abah segak betul bila dikenakan lebai di kepalanya. Saya senyum. Abah tenang sangat. Terdetik di hati nak buka mata abah, kononnya abah buat 'prank'. Bukaklah mata bah, jom bangun. Jangan buat macam ni lagi..Untuk kali terakhir, saya teman abah di dalam van jenazah, bacakan yasin di sisi abah, sentuh muka abah, tangan abah, teman abah ketika yang lain sibuk berbuka, cium dahi abah sebelum dibalut kafan, duduk di sisi ketika abah dalam keranda, mengiringi abah ke kubur, melihat abah di tanam.

Di kubur, seorang pakcik tiba - tiba berkata, "bulan penuh malam ni tengah suluh ke arah kita" Saya lihat bulan, dan senyum. Tak mahu sedih2. Anak abah ni kuat... Biar abah damai..

Selepas pemergian abah, setiap hari saya masih terbau kan abah. Bau itu datang sekilas sahaja pada bila-bila masa. Abang no2 termimpikan abah balik ke rumah, Abang no1 termimpikan abah minum kopi dengannya, kawan baik abah termimpikan abah datang ke rumahnya. Tapi mimpi yang paling menyayatkan hati mesti lah mimpi dari mak.

Mak tidur di atas sejadah selepas habis mengaji sementara menunggu asar. Mak berdoa setiap solat untuk bertemu abah, Ya Allah, temukanlah aku dengan suamiku, aku nak beritahu kepadanya bahawa aku sayangkan dia. Mak kata abah datang dan senyum, dan mak peluk abah & ajak masuk. Saya yang mendengar rasa sangat bahagia, at least doa mak termakbul :)

Abah meninggal akibat kegagalan jantung kanan & penyakit hati peringkat 3. Terus terang, bila dapat berita pemergian abah, saya rasa tenang untuk abah. Tiga tahun menghidap penyakit tersebut, akhirnya segala derita abah hilang. Dan pada saat saya terima berita itu juga, kami tahu satu2nya amanat abah adalah menjaga mak sebaik mungkin. Tak ternilainya pengorbanan mak saya menjaga kami & abah semasa hayatnya.

Hasratnya untuk ke hospital sebab teringin nak berbaring & tidur. Rupanya abah tidur untuk selamanya.. Abah meninggal dunia pada 3 Ogos 2012 bersamaan 14 Ramadhan 1433 pada hari Jumaat.

Half of my soul has gone away...

Abah is adik, adik is abah... kita SATU

3 comments:

eiman's mummy said...

tak dapat kak wan tahan air mata dr mengalir bila baca coretan ni...i know how u feel..terkilan sebab tak dapat nak kongsi kesedihan dgn ct..

.zhidayu. said...
This comment has been removed by the author.
.zhidayu. said...

akak..takziah.
semoga arwah abah akak tenang disana hasil dr doa anak2 dia yg soleh.
insyallah! :)